Isnin, 24 Mac 2014

Masalah kewangan salah satu punca keretakan rumah tangga dan penyelesaiannya.

Kepada semua pembaca yang dihormati,
Maaf kerana entri kali ini lambat keluar disebabkan beberapa perkara yang perlu Kak Zaw 'settle'kan terlebih dahulu.

Pada topik kali ini Kak Zaw nak ceritakan atau kongsikan kepada kawan-kawan semua mengenai topik berkaitan dengan rumahtangga pula. Apabila kita menyebut soal rumahtangga pastinya ekonomi dan keharmonian rumahtangga itulah yang sangat penting dan perlu dititikberatkan supaya kurang tekanan,maju ke hadapan dan macam-macam lagilah.

Walaupun topik kali ini kedengaran dan menjuruskan ke arah unsur-unsur yang berbaur negatif,tetapi Kak Zaw nak tekankan di sini bahawa entri kali ini lebih untuk memberi pendedahan terhadap realiti yang sebenar mengenai kewangan di dalam rumahtangga.Namun ingat, ia bukanlah satu titik tolak bagi mereka yang telah bergelar suami isteri untuk menjadikan alasan masalah kewangan untuk berpisah pula ye!

Meskipun begitu,di era yang serba mencabar ini dan negara yang semakin membangun membuatkan masih ramai lagi di kalangan kita yang ketinggalan dari segi pembangunan rumahtangga, Ini kerana masalah kewangan yang sering melanda segelintir masyarakat yang disebabkan kesempitan kewangan dan keadaan ekonomi keluarga yang terdesa. Perkara ini membuatkan segelintir golongan terpaksa menyelesaikan masalah yang ada walaupun kesan dan akibatnya mereka sendiri ketahui. Berikutan dengan itu, hubungan rumahtangga mulai retak, salah menyalahi mula berlaku dan rungutan tanpa henti berterusan sehingga menyebabkan perpecahan.

Apakah yang perlu dilakukan di saat yang genting ini? Kak Zaw tidak nafikan ramai yang sanggup mengambil jalan pendek untuk berpisah kerana hendak lari dari masalah. Padahal,masing-masing mengakui masalah yang timbul tetapi kerana ego dan inginkan kemenangan mereka sanggup mengetepikan segalanya. Tidak pernah berfikir mengenai hal anak-anak yang sedang membesar dan perlukan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan dengan mentua juga tidak lagi diambil kira.

Oleh yang demikian,kita sebagai individu yang melakonkan watak dan tanggungjawab yang diberikan di bahtera rumahtangga perlulah memupuk kesedaran dan gunakan masa serta masalah ini untuk memperbaiki hubungan. Pelik bukan? Tekanan yang ada sepatutnya disuntik dengan aura-aura yang positif di dalam rumahtangga supaya hubungan kekeluargaan akan lebih erat. Di sinilah kita dapat menguji dan memperbaiki hubungan kita suami isteri supaya konsep 'senang sama senang dan susah sama susah' dapat dipraktikkan. 

Tetapi bagaimanakah hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi? Bagi mereka yang mempunyai hutang tertunggak,selesaikan hutang yang nilainya lebih rendah dahulu barulah selesaikan hutang yang lebih besar. Berhubunglah dengan pihak kaunseling supaya masalah anda dapat diselesaikan. Jangan pula anda berhenti kerja ya! Kerana dengan pendapatan kerja anda, ia akan membantu pihak kaunseling anda untuk membuat rundingan dengan pihak bank bagi konsep pembayaran. Kemudian,pastikan anda juga cuba mendapat bantuan dari pihak keluarga dan agihkan risiko yang ada kepada mereka yang boleh memberi pertolongan. Tapi ingat,pastikan anda berbincang dengan pasangan anda terlebih dahulu kerana ia sangat penting supaya tiada 'miss communication' di kemudian hari.

Mulakan dengan melakukan konsep berjimat cermat dalam penggunaan air,tenaga elektrik dan makanan keperluan. Ini bukan catuan tetapi kawalan. Sekiranya selama ini keluarga anda memakan makanan yang agak mewah, mulakan dengan membeli barangan mentah dengan harga yang ekonomi, sediakan jadual memasak  selama sebulan supaya anda boleh mengira bajet makanan anda malah membantu anda untu menentukan barangan yang perlu dibeli. Kak Zaw nasihatkan supaya anda masih menitikberatkan soal kesihatan walaupun anda perlu berjimat cermat.

Maaf cakap! Walaupun anda perlu membeli barangan yang jimat tidak bemakna anda perlu membeli telur 30 biji untuk dimakan setiap hari. Maksudnya di sini, belilah ikan dan sayur dengan harga yang murah.Pastikan anda mendapat makanan yang mencukupi kerana pada ketika ini masa dan tenaga anda paling penting bagi memakin kestabilan keluarga anda. Ops! Jangan malas ye! Jika tidak kehidupan anda akan lebih susah. Disiplinkan diri anda dan dekatkan diri anda dengan Maha Pencipta kerana DIA lah yang sebaik-baik penolong.

Mungkin pada ketika ini,anda bolehlah sambil-sambil mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi tetapi jangan terlampau berharap kerana ini akan memberikan impak yan negatif pula nanti. Sentiasa cuba memahami pasangan anda dan banyakkan masa bergurau senda bagi menghilangkan tekanan. Cubalah melakukan aktiviti reakreasi di dalam rumahtangga supaya anak-anak juga akan mendapat perhatian. Inilah masanya untuk anda cas semula emosi dan rasa yang positif di dalam diri dan juga pasangan anda.

Sebagai manusia,Kak Zaw sendiri tidak dapat lari dari tekanan walaupun tidak melibatkan kewangan tetapi kita perlu berfikir secara waras dan sedar dengan keadaan yang terjadi. Adakalanya musibah yang terjadi ini,mengajar kita lebih dewasa dan kepentingan insan-insan di sekeliling kita. Mungkin juga,suatu masa dahulu kita tidak pernah atau kurang ketawakan diri kita walaupun keadaan yang terjadi adalah sesuatu yang kelakar. Gunakan masa ini untuk kita ketawakan diri kita dan sedar bahawa setiap salah yang berlaku mungkin atas dasar kebodohan {maaf cakap) yang tidak kita sedari. Tetapi tidak mengapa hidup ini ibarat roda,kadang kala di atas kadang kala di bawah,jadi bersedialah untuk mengadapi segala kemungkinan kerana mungkin inilah dikatakan CABARAN DI ALAM RUMAHTANGGA.

Oleh itu,diharap pembaca terhibur dengan entri kali ini dan janganlah berputus asa walaupun anda ada masalah ceti haram sekali pun!


Ahad, 9 Mac 2014

Wajarkah wujud Pinjaman Peribadi?

Pinjaman Peribadi - Sejauh manakah peribadi wang ini digunakan?

Pada entri kali,biarlah penulis berkongsi beberapa perkara yang seharusnya kita melihat dari sudut materialistik dan realistik. Sebagai seorang yang bekerja selalunya menginginkan sesuatu yang lebih baik dari masa ke semasa. Ayat lebih mudah adalah untuk kita membina kualiti dan ekonomi hidup dengan lebih baik.Akhirnya,apabila kita semakin mengejar kemewahan dan harta benda yang mengagumkan mata  yang melihat,kita akan rasa lebih dihargai dan puas hati seolah-olah itulah kejayaan yang telah kita ciptakan.

Namun,disebaliknya kemelut kemewahan dan kehendak yang telah kita ciptakan ini,membuatkan diri kita sentiasa resah mencari kemewahan tanpa memikirkan kesan dan akibat. Begitulah sinonimnya dengan materialistik yang penulis ingin sampaikan di atas.

Rumah

Impian memiliki rumah merupakan  sesuatu yang diidam-idamkan oleh semua orang. Oleh kerana keinginan yang tinggi,pembeli sanggup membuat pinjaman peribadi untuk tujuan mengubahsuai rumah tanpa memikirkan masa akan datang. Pembeli berpendapat bahawa mengubahsuai rumah akan meningkatkan nilai harga rumah tersebut.Benarkah begitu? Jawapannya ya dan tidak. Kerana pada peringkat permulaan membeli rumah yang baru siap dibina, harga rumah hanya akan meningkat sekitar 20%-30% dari harga jual. Malah,bagi individu atau pasangan yang telah mengeluarkan sejumlah wang sebagai wang pendahuluan tidak sewajarnya membuat pinjaman peribadi bagi tujuan penggubahsuaian rumah kerana ini akan menambahkan komitmen bayaran bulanan setiap bulan. Adalah wajar anda menunggu dalam tempoh 5 tahun lagi dan ketika itu kewangan anda lebih stabil di mana ia membolehkan anda menggunakan tempoh tersebut untuk menyimpan kos yang diperlukan bagi proses penggubahsuaian. Namun,dengan membeli rumah terpakai, anda  mestilah mempunyai wang yang cukup untuk menggubahsuai ataupun membaiki kerosakan yang ada. Bagi memastikan anda membuat keputusan yang bijak, penuls menyarankan agar anda membaiki sahaja terlebih dahulu. Tujuannya supaya anda lebih selesa dengan apa yang ada dan memberikan jarak masa yang mencukupi untuk anda membuat penggubahsuaian supaya hasil yang diharapkan lebih memuaskan akan datang. Cara ini membantu anda untuk mengelakkan membuat pinjaman peribadi atau yang sewaktu dengannya. Bukankah ini lebih baik?

 


Pendidikan

Pelajaran sangat penting di era yang serba mencabar ini. Inilah yang dinamakan keperluan peribadi. Pendidikan yang anda ceburi adalah untuk menambahkan kualiti akademik dan pengetahuan anda. Bagi tujuan yang mulia ini,anda boleh membuat pinjaman peribadi dengan memilih kadar interest yang rendah. Akan tetapi,pastikan anda telah meminimumkan komitmen anda seperti membatalkan kad kredit dan mengurangkan kos perbelanjaan harian dalam tempoh pembelajaran anda. Ini bertujuan untuk mengurangkan diri anda dari tekanan. Sebagai seorang pelajar dan pekerja anda haruslah memastikan tahap mental dan fizikal berada pada tahap yang stabil dan tenang supaya anda dapat menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberikan. Cara ini membolehkan anda lebih fokus dan memberi kualiti yang baik dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Sudah pasti anda mahu menjadi seorang yang berjaya di dalam dua bidang yang diceburi,bukan? Malah,alternatif ini sangat sesuai dan berkesan. Kos pinjaman seharusnya tidak dibuat sepenuhnya kerana di Malaysia,kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 untuk tujuan pendidikan.Jika tidak mencukupi, bolehlah untuk anda mengambil pinjaman peribadi dengan jumlah baki yang diperlukan sahaja.


Perniagaan

Penulis berpendapat bahawa pinjaman peribadi untuk tujuan perniagaan adalah sesuatu yang tidak bijak.Bukankah pihak bank telah menyediakan pinjaman perniagaan?Seharusnya pihak peminjam perlu menggunakan pinjaman yang diperlukan dengan cara dan landasan yang telah disediakan. Sekiranya,tujuan pinjaman adalah untuk perniagaan maka tidaklah bermaksud bahawa pinjaman ini adalah untuk tujuan peribadi. Sebaliknya,menyukarkan peminjam untuk membuat bayaran balik kepada pihak bank. Kegagalan membuat pinjam peribadi akan menyebabkan pihak peminjam tidak berpeluang untuk membuat pinjaman perniagaan kerana rekod individu tidak baik di dalam senarai Bank Negara Malaysia. Sekiranya, anda telah membuat pinjaman peribadi,anda perlulah menyelesaikan pinjaman tersebut dengan baik dalam tempoh yang ditetapkan dan setelah selesai barulah memulakan langkah untuk menceburi bidang perniagaan.


Kegunaan Kad Kredit yang sebenar

 

Kad Kredit & Fungsinya

Kredit bermaksud pinjaman manakala kad kredit bermaksud kad pinjaman. Kad ini boleh didapati di mana-mana bank yang menawarkan pelbagai kelebihan dan kemudahan bagi menyelesaikan sesuatu urusan. Walaubagaimanapun,haruslah diingat bahawa kad kredit bukanlah kad yang digunakan sebagai wang tambahan kita sebaliknya digunakan ketika berlaku kecemasan. Sebagai seorang penulis,saya berpendapat bahawa kad kredit ini juga merupakan tambahan bebanan kepada pengguna. Malah,dengan kad kredit menyukarkan pengguna untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap dan teratur.

Ramai di kalangan muda-mudi yang terjebak dalam penyalahangunaan kad ini dan menyebabkan hutang yang tertunggak. Walaupun pihak bank menawarkan konsep pembayaran minimum 5% dari jumlah tunggakkan, ini tidak bermakna konsep pembayaran ini merupakan cara yang berkesan dalam menjaga kestabilan kewangan anda mahupun keluarga anda. Akhirnya,anda telah pun berada di landasan garisan merah yang akan membawa nama anda disenarai hitamkan.

Pada zaman siber ini tidak dapat dinafikan kad kredit merupakan satu medium yang digunakan oleh pengguna-pengguna internet di seluruh dunia dalam membuat pembayaran perkhidmatan yang di tawarkan.Kepentingan dan proses pengesahan bagi pembayaran amatlah cepat dan ini memudahkan para pengguna menikmati perkhidmatan yang diberikan dengan mudah. Tetapi tahukah anda,inilah merupakan risiko yang pertama yang sangat tinggi menggunakan kad kredit. Anda mungkin tidak dapat melawan kehendak hati anda untuk membeli-belah di laman sesawang dan akhirnya terjerumus dengan hutang yang tinggi.

Untuk menyelesaikan masalah,pembayaran minimum dibuat dan jumlah bunga dibayar bertambah dan terus meningkat. Bagaimana sekiranya anda terpaksa berhenti kerja dan hilang sumber pendapatan? Sudah pasti anda akan berasa tertekan dengan panggilan tanpa henti oleh pihak bank untuk menjelaskan pembayaran. Seterusnya,menukar nombor telefon baru bagi mengelakkan tekanan dari pihak bank berlarutan,kemudian sampailah surat tindakan oleh pihak bank untuk disenaraihitam.

Topik ini akan memberi pendedahan kepada para pembaca bagaimana menggunakan kad kredit dengan cermat dan betul. Malah,penulis juga akan menyediakan beberapa tips 'jangan' yang berguna kepada anda supaya anda boleh menggunakan ia sebagai satu panduan sebelum anda membuat keputusan. Oleh itu setialah membaca.


Bagaimana menggunakan kad kredit dengan cermat dan betul?

Situasi 1:
Aini akan bertunang 6 bulan lagi. Setelah dikira dari gajinya,dia tidak mampu untuk membeli hantaran. Keinginannya untuk membeli hantaran yang bergaya membuatkan dia mencari-cari alternatif untuk mendapatkannya dan akhirnya dia membuat permohonan untuk mengambil kad kredit. Kad kredit telah disahkan dalam tempoh 1 bulan. Agak lama kerana Aini baru bekerja. Namun hatinya gembira kerana dia akan dapat barang hantaran yang diidamkan dengan menggunakan kad kredit. Jumlah belian bernilai RM2500.00 dengan had kredit yang diberikan oleh pihak bank RM5000.00. Setelah 21 hari,Aini perlu menyelesaikan hutangnya namun dia tiada duit sebanyak itu untuk membayar. Akhirnya,dia terjebak dengan konsep pembayaran minimum.Namun,dengan pembayaran minimum dia perlu menyelesaikan hutangnya selama 3 tahun. Mampukah Aini menyelesaikan hutangnya?

Jawapannya :
Aini tidak akan mampu menyelesaikan hutangnya.Mengapa perkara ini berlaku? Lumrah manusia,apabila diberi wang,wang yang digunakan pasti habis. Oleh itu,Aini telah tahu bahawa beliau masih mempunyai baki RM2500 lagi. Dia akan menggunakan kad kredit itu sehingga habis had kredit dan membayar minimum kerana pada pemikirannya, minimum 5% x RM2500= RM125/sebulan dan sekiranya dia menggunakan RM5000 maka dia perlu hanya membayar RM250 sahaja. Jadi dia sendiri berpendapat bahawa daripada membayar RM125 lebih baik  baginya jika dibayar RM250 dengan mendapat pula wang sebanyak RM2500.00. 

Penyelesaiannya:
Mudah sahaja.Jangan gunakan kad kredit untuk tujuan peribadi. Sekiranya anda menggunakan ia untuk tujuan peribadi, ini bermakna kehendak anda telah melebihi keperluan.

Situasi 2:
Kamal mempunyai 2 kad kredit. Tujuan dia mengambil 2 kad kredit adalah untuk keperluan isteri dan dirinya seperti membeli barangan dapur dan untuk ke luar negara. Pada suatu hari, Kamal telah berbincang dengan isterinya untuk mengambil 1 lagi kad kredit supaya beliau mendapat kredit tambahan untuk perbelanjaan isteri dan dirinya. Adakah tindakannya betul?

Jawapannya:
Tidak. Kerana beliau telah pun menambah risiko dalam kewangannya. Walaupun hakikatnya,penulis berpendapat beliau mampu untuk membayar kad kredit,tetapi risiko yang diambilnya sangat tinggi kerana beliau akan terjebak dengan perbelanjaan tanpa kawalan. Maklumlah,di zaman yang serba canggih ini kad kredit merupakan alternatif yang paling cepat dalam menyelesaikan masalah.

Penyelesaiannya:
Beliau boleh berjumpa dengan pihak bank untuk memohon tambahan kredit. Sekiranya beliau seorang yang pandai menguruskan kad kredit,pihak bank pasti akan memberi tambahan kredit kepada beliau. Walaupun begitu,beliau perlu menutup satu kad kredit dan hanya mempunyai 1 kad kredit sahaja.Mengapa?Kerana penggunaan yang melebihi dari satu kad akan menyusahkan seseorang individu untuk menguruskannya.Akibatnya lagi,seseorang itu perlu membayar cas perkhidmatan bank dengan jumlah yang berganda.

Situasi 3:
Aziq pulang ke rumah pada jam 12 tengah malam.Namun,siapa sangka sesuatu telah terjadi kepada isterinya.Isterinya,jatuh di bilik air dan beliau bergegas ke hospital swasta di wad kecemasan. Apa yang merisaukan Aziq adalah keadaan isterinya yang serius sehingga menyebabkan pendarahan di kepala.Pihak hospital meminta Aziq untuk membayar wang sebanyak RM1000 secara tunai. Namun,perkhidmatan mesin ATM tidak boleh mengeluarkan tunai setelah jam 11.00pm. Aziq akhirnya mengeluarkan kad kredit beliau untuk membayar kemasukan ke wad untuk isterinya dan pihak hospital akhirnya menerima pembayaran tersebut. Adakah beliau menggunakan kad kredit dengan betul?

Jawapannya:
Betul sekiranya pada keesokkan paginya beliau mengeluarkan sejumlah wang RM1000 untuk menutup kos kemasukan isteri beliau atau membayar kembali pada bulan yang sama.Ini kerana,walaupun cara beliau menunjukkan beliau menggunakan cara yang betul untuk kecemasan tetapi beliau perlu memastikan bahawa tiada tunggakkan pembayaran kerana ini boleh mengakibatkan dan menjerumuskan beliau gagal untuk membayar mengikut kadar yang ditetapkan. Namun,alternatif yang lain beliau boleh membayar ansuran selama 3 bulan tanpa menggunakan kad tersebut dengan penuh disiplin.

Penyelesaiannya:
Sekiranya,kad kredit yang digunakan sepenuhnya untuk perubatan adalah disarankan agar Aziq mengambil insurans buat isterinya kerana insurans mampu membantu seseorang jika berlaku kecemasan. Kos RM1000 yang dikeluarkan adalah tinggi belum termasuk kos perubatan dan harga katil. Dengan adanya insurans,beliau boleh menggelakkan risiko ini terjadi. Walaupun ada hospital kerajaan,statistik menunjukkan bahawa hospital swasta memberikan perkhidmatan dan kualiti ubat yang lebih baik malah layanan  yang diberikan oleh kakitangan pihak swasta juga sangat baik. Aziq tidak perlu risau mengenai penjagaan isterinya dan membantu beliau untuk lebih fokus bekerja pada siang hari.


Berpandukan pada 3 situasi di atas jelas menunjukkan bahawa kad kredit digunakan pada waktu dan ketika berlaku keadaan yang tidak dijangka tetapi dalam tempoh jangka pendek.

Tip-tip seperti yang berikut sebagai panduan bagi mereka yang baru menggunakkan kad kredit atau akan menggunakannya atau telah pun mempunyainya:

JANGAN GUNAKAN KAD KREDIT BAGI TUJUAN:

1.  Peribadi  seperti perkahwinan,membeli pakaian,kosmetik,mencantikkan kenderaan,membeli emas dan sebagainya.
2. Menambah perbelanjaan seperti barangan dapur sedangkan anda tidak mampu membayar jumlah penggunaan tersebut dengan secukupnya pada setiap bulan.
3. Membeli kereta - simpanlah wang deposit dulu. Tak lari gunung di kejar.
4. Pendidikan - kerana selagi ada hutang tidak berkatlah ilmu anda.
5. Insurans - Ini menunjukkan bahawa anda sangat kedekut untuk membayar nyawa anda sendiri.
6. Mengubahsuai rumah - kerana ini menunjukkan bahawa anda sebenarnya hendak menunjuk sedangkan anda mampu.Pernah dengar? "Biar papa asal bergaya".
7. Melancong - Setelah melancong duit anda banyak yang habis akibatnya anda memerlukan masa yang agak lama untuk membayar tiket penerbangan anda. Gunakan cara yang lebih berkesan. Penulis akan menulis perancangan melancong yang lebih baik di entri blog yang akan datang.

GUNAKAN KAD KREDIT BAGI TUJUAN:

1.  Perniagaan - Ini kerana selalunya perniagaan memerlukan modal yang besar. Anda boleh menjinak-jinakkan diri dalam menceburi perniagaan ini seperti menggunakan sistem perniagaan online di rumah anda atau menjadi agen bagi sesuatu produk. Inilah cara yang paling bijak,pinjaman yang diberikan untuk menjana pendapatan anda.
2.  Membeli produk dengan bayaran ansuran paling maksimum 6 kali sahaja kerana, selalunya bayaran ansuran yang melebihi 6 kali akan membebankan kewangan anda dan membuatkan anda malas untuk membayar.
3. Pekerjaan - Selalunya ini berlaku kepada individu yang bekerja di bahagian pemasaran. Selalunya,apabila mereka diarahkan oleh pihak syarikat untuk berkerja di luar negeri,mereka perlu tinggal 2-3 hari di sana. Kadang-kala perkara yang disebabkan tangguhan penerbangan berlaku dan sesetengah individu perlu mengeluarkan wang mereka sendiri. Dengan cara ini,individu boleh menggunakan kad kredit tersebut dan menebus kembali kos penerbangan yang dikeluarkan.Awas!perkara ini telah berlaku kepada seseorang yang pernah saya kenali dulu.
4.  Membaiki kenderaan anda - kerana pada zaman ini kenderaan merupakan aset yang penting untuk anda pergi bekerja.Sekiranya rosak dan memerlukan kos yang tinggi anda mungkin tidak dapat elakkan diri anda untuk perkara ini. Terutama untuk ibu yang anaknya masih kecil dan mereka yang tinggal di kawasan yang jauh untuk mendapat pengangkutan awam.

Akhir kata dari penulis sendiri,buatlah pertimbangan dengan baik sebelum mengambil kad kredit. Sekali anda ambil kad kredit,anda sukar untuk berpatah balik kecuali anda mempunyai wang yang cukup untuk menutup hutang anda. Walaupun begitu, jadilah insan yang berjaya dalam menguruskan aliran tunai anda dahulu sebelum anda mengambil kad kredit. KAD KREDIT BUKAN SATU KEBANGGAAN!

Rabu, 5 Mac 2014

Wang dan Anda

WANG DAN ANDA... 

 

Makna duit dalam kehidupan anda.

Apabila kita menyebut sahaja tentang wang pasti ini akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diketahui malah mungkin juga sesuatu yang mampu membuatkan kita pening kepala. Mengapa ini terjadi? Inilah dinamakan simptom wang di dalam kehidupan manusia. Ada pendapat mengatakan tanpa wang semua tak boleh jadi, akan tetapi ada juga yang mengatakan dengan duit segala impian akan tercapai. Sebagai penulis, saya berpendapat kedua-duanya perlu diseimbangkan kerana makna sesebuah kehidupan bukanlah semata-mata mengenai kewangan. Mungkin ada yang akan bercanggah pendapat dengan saya kerana anda seorang yang bekerja keras untuk memerah keringat mendapatkan hasil dari usaha anda. 

Tidak mengapa, teruskan dengan usaha anda dan itu bukanlah sesuatu kesalahan cuma sebagai manusia kita perlu melihat wang sesuatu medium untuk menyelesaikan sesuatu urusan kehidupan kita. Namun, nilai wang hanya dilihat dan digunakan tetapi ada nilai yang lebih tinggi dari wang yang perlu anda tahu. Wang tidak akan mampu membeli sebuah kasih sayang yang tinggi nilainya di mata Allah swt. Begitulah sinonimnya kehidupan kita hari ini yang setiap hari pergi keluar bekerja untuk mencari sesuap nasi untuk menyara kehidupan seharian kita. Bagi yang telah mempunyai keluarga,wang ini digunakan untuk menjaga keperluan insan-insan yang kita sayangi.

Semakin kita mengejar wang semakin jauh ia meninggalkan kita. Benarkah ungkapan ini?Benar kerana di dalam kehidupan kita, kita telah ditetapkan untuk menjadi khalifah di muka Bumi ini sebagai insan yang bertanggungjawab untuk melakukan lebih dari itu. Bukan hanya bekerja untuk mencari wang semata-mata tetapi untuk meningkatkan nilai dan jati diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan alim. Saya sendiri menyatakan bahawa wang sangat penting dalam urusan seharian kita TETAPI AWAS! tersilap langkah wang akan kehilangan maknanya di dalam hidup ini.

Di dalam catatan kali ini saya ingin memberi beberapa tips yang berguna untuk anda tanamkan dalam jiwa anda mengenai kewangan.

Sekiranya sebelum ini anda seorang yang berfikiran :


1) "Aku hidup kerana wang" tukarkan menjadi "Wang hidup kerana aku"


  • Inilah kelemahan yang tidak dapat kita atasi kerana apabila wang telah banyak di depan mata, kita mula resah untuk menghabiskannya. Maksud  di sini 'nafsu' yang membuatkan kita untuk memiliki segala-galanya sehinggakan kita sanggup meninggalkan orang-orang yang kita sayangi semata-mata kerana wang. "Wang hidup kerana aku" membawa pengertian yang sangat tinggi sebenarnya yang membawa maksud WANG ADALAH HAMBA ANDA tetapi BUKAN ANDA HAMBA WANG.

2) "Tanpa duit siapalah aku " tukarkan menjadi "Aku adalah aku bukan kerana duit"

  • Sebagai manusia kita tidak akan lari untuk membeli itu dan ini. Kereta yang besar,rumah yang besar dan segala-galanya besarlah. Kerana itu hati kita mula menyongsang ke arah lain yang pada asalnya untuk memiliki kerana kepuasan bertukar menjadi riak. Mengapa?Kerana mentaliti kita telah kita 'setkan', dengan adanya duit orang akan hormat dan pandang tinggi pada kita. Penulis di di sini ingin memberitahu bahawa kita dipandang tinggi bukan kerana wang tetapi kerana jasa dan ilmu yang di manfaatkan kepada insan di sekeliling kita. Oleh itu, anda adalah anda yang telah lahir untuk menjadi insan yang tinggi nilainya. Bukankah untuk menggapainya percuma. MENGAPA PERLU WANG UNTUK MENJADI SIAPA ANDA BUKAN??

3) "Duit! Duit! di mana engkau duit" tukarkan menjadi "Duit! Duit! bagaimana engkau duit.

  • Masih anda ingat lagi lagu 'duit duit di mana engkau duit'.Sebenarnya tiada salahnya dengan lagu itu. Lagu itu bertujuan untuk menaikkan semangat mereka yang mencari rezeki dan berasa putus semangat. Tetapi disebabkan chorus and seluruh liriknya mengenai duit,kita telah menerapkan kegilaan yang tidak nyata dan secara tidak langsung di dalam diri kita. Ini membuatkan kita mula 'gila-gila' mencari wang sehingga melupakan aktiviti bersama keluarga dan anak-anak dan mendekatkan diri kita dengan Maha Pencipta. Wang memang perlu dicari DAN DIJAGA. Itulah yang sebaik-baiknya. Berapa banyak sekalipun kita cari tetapi sekiranya kita tidak jaga,TAK DE MAKNANYA KAWAN-KAWAN.
  • Saya kongsikan lirik 'DUIT!DUIT! untuk anda menyelami maksud dari lirik lagu ini oleh sebuah kumpulan zaman 90-an-Kumpulan Kembara.
 Lirik Lagu Duit - Kembara

Ada yang panggil ringgit
Ada yang panggil dollar
Ada yang panggil baht
Ada yang panggil rupiah
Semua ini duit
Bikin orang belit

Duit! Duit!
Di mana kau duit
Duit! Duit!
Duit! Duit!
Hutangku membukit
Duit! Duit!

Ada yang benci duit
Ada yang cinta duit (Bikin perut buncit)
Skandal sana sini
Punca semua duit
Cari duit halal
Agar jangan kesal

Duit! (4x)
Duit, duit beli duit
Duit! (4x)
Duit, buat beli cinta

Ramai orang yang berkata
Duit punca banyak dosa
Jangan sampai makan rasuah
Nanti bangsa jadi musnah

Duit! Duit!
Di mana kau duit
Duit! Duit!
Duit! Duit!
Hutangku membukit
Duit! Duit!

Duit! (4x)
Duit, duit beli duit
Duit! (4x)
Duit, buat beli cinta

Zaman ini zaman duit
Tak ada duit diri tersepit
Tapi jangan jadi hamba duit
Nanti musnah diri sendiri

Duit! Duit!

4) "Aku lebih semangat kerana duit" tukarkan menjadi "Semangatku kerana Allah swt dan keluargaku"

  • Sebut tentang semangat, ini merupakan rasa di dalam diri yang hanya anda sahaja yang dapat mengawalnya.Secara positifnya memang wang boleh menaikkan semangat dan keyakinan seseorang dan ini memang tidak dapat dinafikan. Namun,hidup adakalanya tidak selalunya cerah. Kadang di atas dan kadang di bawah. Bagaimana satu masa nanti kita diuji kita kehilangan wang dan harta? Bukankah semangat kita akan dibawa pergi bersama-sama wang dan harta yang kita pernah miliki itu dan akhirnya kita sekali lagi menghambakan diri mencari duit. Pergaduhan,penceraian dan dendam mungkin secara tak langsung akan mengganggu kestabilan fikiran kita yang ketika itu sememangnya tidak stabil. Akhirnya,ke manakah kita? Inilah yang sebenarnya saya cuba sampaikan, jangan kerana kita hilang duit semangat kita juga turut hilang. Kita perlu semangat untuk meneruskan kehidupan kerana semangat kita adalah kerana Allah dan keluarga. Dekatkan hati dengan mengingati Allah tanpa putus-putus nescaya hati dan fikiran kita akan menjadi lebih luas untuk mencari sebuah penyelesaian.
  • Saya pernah berbual dengan seorang surirumah tangga yang usianya dalam lingkungan 60-an, katanya "Allah menguji manusia dengan bermacam-macam cara.DIA memberi rezeki dengan pelbagai cara juga, tetapi adakalanya rezeki yang diberi itu tidak sepenuhnya. DIA menyimpan sedikit dan sekiranya belum masanya rezeki itu tidak akan diberikan. Mungkin bukan kepada kita tetapi kepada keturunan kita. Jadi bersyukurlah "
  • Terus-terang katakan, saya amat kagum dengan nasihat yang diberikan malah siap dapat korek rahsia lagi, simpanan beliau sahaja sudah menjangkau RM14,000 walaupun kehidupannya pada asalnya insan ini tidaklah mewah. Tetapi berkat kesabarannya Allah memberikan rezeki kepada seorang ibu yang mempunyai 9 orang anak dan suaminya hanya 'Tukang Kebun' sahaja dengan pelbagai cara.
  • 'Izinkanlah aku menumpang di sini,di bawah naungan kasih dan sayangMU ku berserah diri'.

5) "Wang jangan pergi dariku" tukarkan menjadi "Wang datanglah kepadaku"

  • Perkataan 'jangan' ini sebenarnya tidaklah baik digunakan atau diingati pada sesuatu keadaan. Ini kerana perkataan yang negatif akan memberi impak yang negatif dalam kehidupan kita.Jadi untuk berusaha dalam mencari rezeki,ubahlah pemikiran kita dengan konsep ajakan. Ajaklah di dalam hati dan fikiran kita, 'wang datanglah kepadaku' seperti satu daya tarikan magnet. Ini adalah satu teknik psykologi yang membuatkan kita tidak akan berputus asa sekiranya wang tidak datang. Mengapa? Magnet kan ada dua kutub. Satu kutub utara dan satu kutub selatan. Secara saintifiknya sekiranya anda adalah kutub utara, pasti wang dari kutub selatan akan datang kepada anda dan logiknya, pasti kutub utara tidak boleh dekat dengan anda. Jadi inilah dinamakan 'BUKAN REZEKI ANDA'. Oleh itu, carilah pasangan kutub selatan,pasti kutub utara akan dekat dengan pasangan anda. Bagaimana? Mudah sahaja, mungkin pasangan anda seorang yang sangat berbeza dengan diri anda tetapi theoritikalnya terhadap wang dengan anda adalah sama. InsyaAllah mudah-mudahan Allah memberikan rezeki yang berlipat ganda kepada ANDA DAN KETURUNAN ANDA! Aminnn..