Ahad, 9 Mac 2014

Kegunaan Kad Kredit yang sebenar

 

Kad Kredit & Fungsinya

Kredit bermaksud pinjaman manakala kad kredit bermaksud kad pinjaman. Kad ini boleh didapati di mana-mana bank yang menawarkan pelbagai kelebihan dan kemudahan bagi menyelesaikan sesuatu urusan. Walaubagaimanapun,haruslah diingat bahawa kad kredit bukanlah kad yang digunakan sebagai wang tambahan kita sebaliknya digunakan ketika berlaku kecemasan. Sebagai seorang penulis,saya berpendapat bahawa kad kredit ini juga merupakan tambahan bebanan kepada pengguna. Malah,dengan kad kredit menyukarkan pengguna untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap dan teratur.

Ramai di kalangan muda-mudi yang terjebak dalam penyalahangunaan kad ini dan menyebabkan hutang yang tertunggak. Walaupun pihak bank menawarkan konsep pembayaran minimum 5% dari jumlah tunggakkan, ini tidak bermakna konsep pembayaran ini merupakan cara yang berkesan dalam menjaga kestabilan kewangan anda mahupun keluarga anda. Akhirnya,anda telah pun berada di landasan garisan merah yang akan membawa nama anda disenarai hitamkan.

Pada zaman siber ini tidak dapat dinafikan kad kredit merupakan satu medium yang digunakan oleh pengguna-pengguna internet di seluruh dunia dalam membuat pembayaran perkhidmatan yang di tawarkan.Kepentingan dan proses pengesahan bagi pembayaran amatlah cepat dan ini memudahkan para pengguna menikmati perkhidmatan yang diberikan dengan mudah. Tetapi tahukah anda,inilah merupakan risiko yang pertama yang sangat tinggi menggunakan kad kredit. Anda mungkin tidak dapat melawan kehendak hati anda untuk membeli-belah di laman sesawang dan akhirnya terjerumus dengan hutang yang tinggi.

Untuk menyelesaikan masalah,pembayaran minimum dibuat dan jumlah bunga dibayar bertambah dan terus meningkat. Bagaimana sekiranya anda terpaksa berhenti kerja dan hilang sumber pendapatan? Sudah pasti anda akan berasa tertekan dengan panggilan tanpa henti oleh pihak bank untuk menjelaskan pembayaran. Seterusnya,menukar nombor telefon baru bagi mengelakkan tekanan dari pihak bank berlarutan,kemudian sampailah surat tindakan oleh pihak bank untuk disenaraihitam.

Topik ini akan memberi pendedahan kepada para pembaca bagaimana menggunakan kad kredit dengan cermat dan betul. Malah,penulis juga akan menyediakan beberapa tips 'jangan' yang berguna kepada anda supaya anda boleh menggunakan ia sebagai satu panduan sebelum anda membuat keputusan. Oleh itu setialah membaca.


Bagaimana menggunakan kad kredit dengan cermat dan betul?

Situasi 1:
Aini akan bertunang 6 bulan lagi. Setelah dikira dari gajinya,dia tidak mampu untuk membeli hantaran. Keinginannya untuk membeli hantaran yang bergaya membuatkan dia mencari-cari alternatif untuk mendapatkannya dan akhirnya dia membuat permohonan untuk mengambil kad kredit. Kad kredit telah disahkan dalam tempoh 1 bulan. Agak lama kerana Aini baru bekerja. Namun hatinya gembira kerana dia akan dapat barang hantaran yang diidamkan dengan menggunakan kad kredit. Jumlah belian bernilai RM2500.00 dengan had kredit yang diberikan oleh pihak bank RM5000.00. Setelah 21 hari,Aini perlu menyelesaikan hutangnya namun dia tiada duit sebanyak itu untuk membayar. Akhirnya,dia terjebak dengan konsep pembayaran minimum.Namun,dengan pembayaran minimum dia perlu menyelesaikan hutangnya selama 3 tahun. Mampukah Aini menyelesaikan hutangnya?

Jawapannya :
Aini tidak akan mampu menyelesaikan hutangnya.Mengapa perkara ini berlaku? Lumrah manusia,apabila diberi wang,wang yang digunakan pasti habis. Oleh itu,Aini telah tahu bahawa beliau masih mempunyai baki RM2500 lagi. Dia akan menggunakan kad kredit itu sehingga habis had kredit dan membayar minimum kerana pada pemikirannya, minimum 5% x RM2500= RM125/sebulan dan sekiranya dia menggunakan RM5000 maka dia perlu hanya membayar RM250 sahaja. Jadi dia sendiri berpendapat bahawa daripada membayar RM125 lebih baik  baginya jika dibayar RM250 dengan mendapat pula wang sebanyak RM2500.00. 

Penyelesaiannya:
Mudah sahaja.Jangan gunakan kad kredit untuk tujuan peribadi. Sekiranya anda menggunakan ia untuk tujuan peribadi, ini bermakna kehendak anda telah melebihi keperluan.

Situasi 2:
Kamal mempunyai 2 kad kredit. Tujuan dia mengambil 2 kad kredit adalah untuk keperluan isteri dan dirinya seperti membeli barangan dapur dan untuk ke luar negara. Pada suatu hari, Kamal telah berbincang dengan isterinya untuk mengambil 1 lagi kad kredit supaya beliau mendapat kredit tambahan untuk perbelanjaan isteri dan dirinya. Adakah tindakannya betul?

Jawapannya:
Tidak. Kerana beliau telah pun menambah risiko dalam kewangannya. Walaupun hakikatnya,penulis berpendapat beliau mampu untuk membayar kad kredit,tetapi risiko yang diambilnya sangat tinggi kerana beliau akan terjebak dengan perbelanjaan tanpa kawalan. Maklumlah,di zaman yang serba canggih ini kad kredit merupakan alternatif yang paling cepat dalam menyelesaikan masalah.

Penyelesaiannya:
Beliau boleh berjumpa dengan pihak bank untuk memohon tambahan kredit. Sekiranya beliau seorang yang pandai menguruskan kad kredit,pihak bank pasti akan memberi tambahan kredit kepada beliau. Walaupun begitu,beliau perlu menutup satu kad kredit dan hanya mempunyai 1 kad kredit sahaja.Mengapa?Kerana penggunaan yang melebihi dari satu kad akan menyusahkan seseorang individu untuk menguruskannya.Akibatnya lagi,seseorang itu perlu membayar cas perkhidmatan bank dengan jumlah yang berganda.

Situasi 3:
Aziq pulang ke rumah pada jam 12 tengah malam.Namun,siapa sangka sesuatu telah terjadi kepada isterinya.Isterinya,jatuh di bilik air dan beliau bergegas ke hospital swasta di wad kecemasan. Apa yang merisaukan Aziq adalah keadaan isterinya yang serius sehingga menyebabkan pendarahan di kepala.Pihak hospital meminta Aziq untuk membayar wang sebanyak RM1000 secara tunai. Namun,perkhidmatan mesin ATM tidak boleh mengeluarkan tunai setelah jam 11.00pm. Aziq akhirnya mengeluarkan kad kredit beliau untuk membayar kemasukan ke wad untuk isterinya dan pihak hospital akhirnya menerima pembayaran tersebut. Adakah beliau menggunakan kad kredit dengan betul?

Jawapannya:
Betul sekiranya pada keesokkan paginya beliau mengeluarkan sejumlah wang RM1000 untuk menutup kos kemasukan isteri beliau atau membayar kembali pada bulan yang sama.Ini kerana,walaupun cara beliau menunjukkan beliau menggunakan cara yang betul untuk kecemasan tetapi beliau perlu memastikan bahawa tiada tunggakkan pembayaran kerana ini boleh mengakibatkan dan menjerumuskan beliau gagal untuk membayar mengikut kadar yang ditetapkan. Namun,alternatif yang lain beliau boleh membayar ansuran selama 3 bulan tanpa menggunakan kad tersebut dengan penuh disiplin.

Penyelesaiannya:
Sekiranya,kad kredit yang digunakan sepenuhnya untuk perubatan adalah disarankan agar Aziq mengambil insurans buat isterinya kerana insurans mampu membantu seseorang jika berlaku kecemasan. Kos RM1000 yang dikeluarkan adalah tinggi belum termasuk kos perubatan dan harga katil. Dengan adanya insurans,beliau boleh menggelakkan risiko ini terjadi. Walaupun ada hospital kerajaan,statistik menunjukkan bahawa hospital swasta memberikan perkhidmatan dan kualiti ubat yang lebih baik malah layanan  yang diberikan oleh kakitangan pihak swasta juga sangat baik. Aziq tidak perlu risau mengenai penjagaan isterinya dan membantu beliau untuk lebih fokus bekerja pada siang hari.


Berpandukan pada 3 situasi di atas jelas menunjukkan bahawa kad kredit digunakan pada waktu dan ketika berlaku keadaan yang tidak dijangka tetapi dalam tempoh jangka pendek.

Tip-tip seperti yang berikut sebagai panduan bagi mereka yang baru menggunakkan kad kredit atau akan menggunakannya atau telah pun mempunyainya:

JANGAN GUNAKAN KAD KREDIT BAGI TUJUAN:

1.  Peribadi  seperti perkahwinan,membeli pakaian,kosmetik,mencantikkan kenderaan,membeli emas dan sebagainya.
2. Menambah perbelanjaan seperti barangan dapur sedangkan anda tidak mampu membayar jumlah penggunaan tersebut dengan secukupnya pada setiap bulan.
3. Membeli kereta - simpanlah wang deposit dulu. Tak lari gunung di kejar.
4. Pendidikan - kerana selagi ada hutang tidak berkatlah ilmu anda.
5. Insurans - Ini menunjukkan bahawa anda sangat kedekut untuk membayar nyawa anda sendiri.
6. Mengubahsuai rumah - kerana ini menunjukkan bahawa anda sebenarnya hendak menunjuk sedangkan anda mampu.Pernah dengar? "Biar papa asal bergaya".
7. Melancong - Setelah melancong duit anda banyak yang habis akibatnya anda memerlukan masa yang agak lama untuk membayar tiket penerbangan anda. Gunakan cara yang lebih berkesan. Penulis akan menulis perancangan melancong yang lebih baik di entri blog yang akan datang.

GUNAKAN KAD KREDIT BAGI TUJUAN:

1.  Perniagaan - Ini kerana selalunya perniagaan memerlukan modal yang besar. Anda boleh menjinak-jinakkan diri dalam menceburi perniagaan ini seperti menggunakan sistem perniagaan online di rumah anda atau menjadi agen bagi sesuatu produk. Inilah cara yang paling bijak,pinjaman yang diberikan untuk menjana pendapatan anda.
2.  Membeli produk dengan bayaran ansuran paling maksimum 6 kali sahaja kerana, selalunya bayaran ansuran yang melebihi 6 kali akan membebankan kewangan anda dan membuatkan anda malas untuk membayar.
3. Pekerjaan - Selalunya ini berlaku kepada individu yang bekerja di bahagian pemasaran. Selalunya,apabila mereka diarahkan oleh pihak syarikat untuk berkerja di luar negeri,mereka perlu tinggal 2-3 hari di sana. Kadang-kala perkara yang disebabkan tangguhan penerbangan berlaku dan sesetengah individu perlu mengeluarkan wang mereka sendiri. Dengan cara ini,individu boleh menggunakan kad kredit tersebut dan menebus kembali kos penerbangan yang dikeluarkan.Awas!perkara ini telah berlaku kepada seseorang yang pernah saya kenali dulu.
4.  Membaiki kenderaan anda - kerana pada zaman ini kenderaan merupakan aset yang penting untuk anda pergi bekerja.Sekiranya rosak dan memerlukan kos yang tinggi anda mungkin tidak dapat elakkan diri anda untuk perkara ini. Terutama untuk ibu yang anaknya masih kecil dan mereka yang tinggal di kawasan yang jauh untuk mendapat pengangkutan awam.

Akhir kata dari penulis sendiri,buatlah pertimbangan dengan baik sebelum mengambil kad kredit. Sekali anda ambil kad kredit,anda sukar untuk berpatah balik kecuali anda mempunyai wang yang cukup untuk menutup hutang anda. Walaupun begitu, jadilah insan yang berjaya dalam menguruskan aliran tunai anda dahulu sebelum anda mengambil kad kredit. KAD KREDIT BUKAN SATU KEBANGGAAN!

0 ulasan: